Nama : Rahman Mahmud
Umur : 44 tahun
Tarikh lahir : 2 Mac 1964
Tempat lahir : Johor Bahru
Nama isteri : Norlaila Yusof
Anak: Mohd Sheffle Rahman (25 tahun), Suraini (24 tahun), Nur Syahira Rahman (12 tahun)
Cucu: Mohd Daniel (tujuh tahun) dan Siti Nurelisha (10 bulan)
Info :
Selain taksub pada gitar, Man Keedal pandai mengemas rumah.
Menganggap kejayaan diri bergantung kepada sokongan keluarga terutama isteri dan anak-anak.
Mengakui tidak semua orang boleh bermain gitar kerana selain harus belajar, seseorang perlu bakat semulajadi.
Menganggap bidang muzik boleh bawa menjana pendapatan jika fokus.
Gitar popular yang digunakannya ialah Fender Stratocaster 1978 bersama amplifier Marshall.
Man Keedal cenderung tampil dengan gaya permainan speed, neoclassic dan shredd.
Pemain gitar idolanya ialah Yngwie Malmsteen, Ritchie Blackmore dan Jimi Hendrix.
RAHMAN Mahmud atau masyhur di kalangan pemujanya sebagai Man Keedal tidak perlu diperkenalkan lagi. Namanya layak diangkat sebagai ikon pemain gitar atau shredder ternama negara. Legasi yang diciptanya sepanjang mencurahkan kreativiti dalam dunia rock tempatan lebih separuh daripada usianya memberi impak bermakna kepada industri muzik.
Kejayaan nama besar dalam persada rock tanah air seperti M Nasir, Ella, Ramli Sarip, Amy Search dan Lefthanded bagai tidak boleh dipisahkan tanpa dikaitkan sekali personaliti unik ini - Man Keedal.
Kredibiliti dan aura lagenda Man Keedal membuatkan XY - Ikon Lelaki terpanggil menyelami kehidupan peribadi empunya diri, mencungkil ‘rahsia’ sentuhan ajaib tangan kidal serta berkongsi obsesi pemuzik ini terhadap gitar.
Imej rocker yang menjadi identiti rock mania Man Keedal nyata bertentangan dengan karektor peribadinya. Berjiwa lembut, penyayang dan cukup tenang - begitulah yang dapat dilihat selepas menelek karektor personaliti ini. Lebih menyerlah, imejnya yang cukup sederhana membuatkan interaksi menjadi mesra dan serasi.
Karektor bersahaja pemuzik hebat ini memudahkan sesi fotografi petang itu. Malah, Man Keedal cukup sporting menggayakan pelbagai pose ekstrem. Lihat saja aksinya melompat dalam foto muka depan sisipan ini. Tanpa banyak kerenah, Man Keedal memberi banyak pose menarik.
Paling istimewa, ketika hadir pada sesi fotografi eksklusif di Studio Berita Harian di Bangsar, Selasa lalu, Man Keedal tidak keseorangan. Ditemani isterinya, Norlaila Yusof dan anak bongsu kesayangan, Nur Syahira, pemuzik terkenal itu turut membawa gitar kesayangan yang sudah banyak berjasa sejak 30 tahun lalu.
Sambil mengakui hidupnya sepi tanpa gitar, Man Keedal tanpa berselindung berkongsi kisah ketaksubannya terhadap gitar. Pada suatu ketika, Man Keedal memiliki koleksi 18 gitar namun kini tinggal lapan gitar yang disimpan di rumah keluarga di Johor Bahru.
Man Keedal bercerita, dirinya bertuah kerana ahli keluarganya berkecimpung dalam bidang seni membolehkannya menguasai pelbagai instrumen muzik. Membesar dalam persekitaran muzik, Man Keedal bukan saja boleh bermain gitar malah dram dan keyboard.
“Inilah gitar kesayangan yang dibeli pada 1978 di Singapura. Pada masa itu, harganya sekitar S$2,000 (RM4,600). Gitar ini sudah dikira mahal untuk remaja berusia 17 tahun iaitu umur saya ketika itu.
“Sekarang, gitar ini boleh mencecah S$16,000 (RM36,800),” katanya sambil memberi kesempatan kepada penulis membelek gitar eksklusif yang dicipta khusus untuk pemain kidal jenama Fender Stratocaster itu.
Bagi Man Keedal gitar adalah dunianya. Tidak ada hari yang berlalu tanpanya memegang gitar. Gitar baginya adalah tempat mencurahklan rahsia hati dan berkarya.
“Saya dan gitar bagai menjalin suatu hubungan. Saya umpama berbual dengan gitar dan tidak boleh hidup tanpa gitar,” jujur bicara Man Keedal.
Man Keedal berkata, gitar menjadi teman kala kesunyian sejak usia remaja lagi.
“Jika saya rasa bosan, gitarlah menjadi teman, sumber insiprasi dan kekuatan. Saya hiburkan hati dengan gitar kesayangan. Bagi saya, gitar adalah darah daging saya sendiri,” katanya.
Paling menakjubkan, Man Keedal tidak pernah mendapat latihan formal dalam bidang muzik terutama bermain gitar.
“Pernah suatu ketika, bapa mengupah seorang guru muzik mengajar di rumah selama setahun. Namun, sebenarnya saya bermain gitar mengikut firasat hati... Minat dan kebolehan ini seolah-olah datang sendiri.
“Mendengar muzik saja, saya boleh mengagak dan menghasilkan irama sendiri dengan mengetip tali gitar,” katanya yang seolah-olah mempunyai kuasa ajaib setiap kali memegang gitar.
Cerita Man Keedal, pemuzik zaman dulu hanya bergantung kepada perkakasan seperti alat perakam mudah yang bukanlah tinggi tahap teknologinya.
“Kitalah sendiri yang mencari not lagu sehingga mampu menguasai sesuatu lagu tanpa perlu mengikuti kelas muzik secara formal,” katanya.
Man Keedal berkata, ketika usia mudanya, beliau sanggup menghabiskan masa hingga 16 jam sehari bersama gitar.
“Saya tidak pernah bosan dengan gitar. Tetapi sekarang disebabkan kesibukan lain terutama membabitkan keluarga, saya hanya boleh memperuntukkan empat jam setiap hari untuk bersama gitar,” katanya.
Menceritakan detik awal pembabitannya dalam bidang seni, Man Keedal berkongsi rahsia bahawa gitar sebenarnya bukanlah ‘mainan’ awalnya. Man Keedal terlebih dulu berjinak-jinak dengan dram pada usia sembilan tahun. Hanya pada usia 12 tahun, minatnya terhadap gitar mula berputik.
Katanya, pengalaman mengikuti ahli keluarga mengadakan persembahan di sekitar majlis perkahwinan, kenduri dan kelab hiburan di Johor Bahru bagaikan latihan amali sebelum beliau memulakan karier muzik bersama band tersohor, Search pada awal 1980-an.
“Bersama kumpulan Search kami sempat bekerjasama menghasilkan sebuah album iaitu Cinta Buatan Malaysia pada 1982 sebelum saya mempelopori kumpulan rock, Lefthanded, setahun kemudian.
“Kini, saya banyak mengadakan persembahan secara solo serta menerima undangan untuk persembahan gitar,” katanya yang tidak pernah sunyi daripada menjayakan persembahan di seluruh negara.
Menceritakan perkembangan terkininya, guitarist terkenal itu penuh bersemangat menceritakan inisiatif menganjurkan program Jelajah Klinik Gitar secara solo di Johor bulan ini.
Bengkel kemahiran bermain gitar itu akan menjelajah bandar besar seperti Johor Bahru, Batu Pahat, Kota Tinggi, Mersing, Muar dan Desaru bagi membolehkan Man Keedal mendekati kelompok peminatnya, sekali gus memberi pendedahan terbaik mendalami instrumen berkenaan.
Man Keedal berkata, beliau mahu memperluaskan program Jelajah Klinik Gitar di seluruh negara bagi mencungkil potensi bakat muda dalam bidang muzik. Beliau juga kagum terhadap pemain gitar muda seperti Rudy dari kumpulan Kristal serta anaknya sendiri, Mohd Sheffle yang dirasakan mewarisi bakatnya.
Mengulas mengenai album terbarunya, Rockestra yang memuatkan single Sentuhan Keedal dan Seruan termasuk dalam format minus one, Man Keedal mengakui album yang dirakamkan bersama orkestra itu adalah simbol kepuasan muzik yang dicetusnya. Pada harga RM15, album dalam bentuk cakera padat (CD) itu dijualnya sendiri.
Puas bertanya soal perjalanan keriernya, Man Keedal menceritakan nasib industri hiburan tanah air. Sambil melahirkan rasa kesal kerana industri muzik tempatan masih di takuk lama, beliau hairan mengapa tiada artis Malaysia berjaya menembusi pasaran antarabangsa.
“Kalau hendak diikutkan irama muzik kita sangat berdaya saing dan seharusnya diterima ramai. Soal bahasa tidak harus dibangkitkan kerana pencinta muzik menerimanya dengan baik.
“Dulu saya berharap yang kejayaan Anita Sarawak di Amerika Syarikat (AS) setidak-tidaknya membuka mata banyak pihak untuk melihat artis tempatan.
“Malah, Siti Nurhaliza yang mengadakan konsert di London juga seolah-olah tidak memberi kesan,” katanya seakan terkilan kerana tiada pihak berusaha mengedarkan album artis tempatan di pasaran antarabangsa.
Masa terasa pantas berlalu walaupun lebih dua jam berbicara. Satu demi satu isu dikupas Man Keedal penuh bermakna, matang dan kritis sesuai tarafnya sebagai sifu muzik.
Dalam renungan terakhir, hati berbisik Man Keedal akan terus rock!